MULAI Jumaat ini, cukai barangan dan perkhidmatan (GST) berkadar sifar. GST yang diperkenalkan sejak 1 April 2015 dikatakan sebagai antara faktor kenaikan harga barangan dan perkhidmatan. Kenaikan harga barangan dan perkhidmatan memberi kesan terhadap peningkatan kos sara hidup rakyat negara ini.
Ada berpendapat GST bukanlah satu-satunya faktor yang menaikkan harga barangan dan perkhidmatan. Banyak lagi faktor yang menyebabkan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan seperti penurunan nilai mata Ringgit Malaysia (RM) berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).
Tidak kurang juga harga barangan dan perkhidmatan ditentukan oleh permintaan dan penawaran dalam pasaran terbuka seperti Malaysia. Namun, di sebalik faktor-faktor ini, sering kali semasa musim perayaan, harga barangan dan perkhidmatan akan meningkat tinggi.
Misalnya, pada masa ini ketika bulan Ramadan menjelang Hari Raya Aidilfitri, peningkatan harga barangan terutamanya makanan tidak boleh disangkal lagi. Benarkah ada faktor-faktor lain seperti harga barangan sengaja dinaikkan semasa musim perayaan?
Mungkinkah ada pihak yang sengaja mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan ketika umat Islam sedang sibuk mengerjakan ibadah puasa sehinggalah meraikan hari kemenangan pada Hari Raya Aidilfitri?
Cakap-cakap seperti ini selalu sahaja berlaku setiap kali bulan Ramadan. Namun, sehingga ke hari ini, tiada langkah yang benar-benar konkrit untuk memastikan harga barangan tidak meningkat dengan keterlaluan.
Pada kebiasaannya pada bulan Ramadan, umat Islam akan membuat persiapan bukan sahaja untuk mengerjakan ibadah puasa dengan sebaik mungkin tetapi juga persiapan hari raya yang akan menjelang tiba.
Umum mengetahui untuk membuat persiapan bagi meraikan Hari Raya Aidilfitri, sudah tentulah memerlukan komitmen untuk membeli pelbagai barangan. Misalnya, persiapan membeli kuih-muih dan pakaian bukan setakat untuk diri sendiri tetapi buat keluarga. Tidak kurang juga, persiapan balik ke kampung, memerlukan perbelanjaan besar seperti penyelenggaraan kenderaan, tol dan minyak.
Dengan kata lain sudah menjadi kebiasaan, umat Islam memerlukan komitmen perbelanjaan yang lebih tinggi ketika musim ini. Sebab itulah ketika musim ini, pelbagai tawaran diberikan kepada umat Islam oleh peniaga yang lebih ke arah untuk berbelanja lebih.
Maka, ada yang sanggup untuk membuat komitmen hutang demi memastikan mereka dapat meraikan hari lebaran dengan semeriah mungkin. Sememangnya sebagai umat Islam kita dituntut untuk berbelanja secara berhemah ketika musim ini. Tiada pembaziran dan tiada juga pemborosan. Berbelanja sekadar dalam lingkungan kemampuan sendiri.
Bak kata pepatah, ukur baju di badan sendiri. Usahlah sampai biar papa asal bergaya. Sanggup berhutang keliling pinggang sehingga akhirnya memudaratkan diri sendiri kelak. Tidak mampu membayar kembali hutang tersebut sampaikan memberi tekanan kepada diri dan keluarga. Banyak lagi bulan yang terpaksa diharungi dalam setahun. Hidup perlu diteruskan dengan lebih baik selepas musim perayaan.
Namun, tatkala kita berusaha sedaya upaya untuk menjalani kehidupan secara bersederhana, kita masih tidak boleh elak menghadapi kos sara hidup yang cukup tinggi pada masa kini. Rakyat sebenarnya sudah begitu lama berhadapan dengan isu ini.
Tidak diketahui bilakah isu ini akan berakhir seolah-olah masih belum nampak sebarang jalan penyelesaian untuk memastikan rakyat hidup dalam keadaan selesa.
Mencari punca dan mengambil tindakan pembetulan adalah jalan terbaik. Namun, sekali lagi tidak diketahui sejauh manakah tindakan telah dilaksanakan secara benar-benar berkesan. Misalnya, dari segi penguatkuasaan. Adakah tindakan penguatkuasaan menggerunkan peniaga sehingga mereka meletakkan harga barangan secara berpatutan? Kita bukan sekadar bercakap tentang peniaga akhir yang rata-ratanya berniaga secara kecil-kecilan. Kita perlu bercakap mengenai rantaian bermulanya jualan sesuatu produk tersebut. Mereka yang terlibat dalam pengeluaran dan seterusnya memasarkan kepada pengguna juga perlu dilakukan penguatkuasaan secara berkesan.
Hal ini berlaku kerana harga barangan akan diletakkan pada harga yang lebih tinggi oleh peniaga akhir yang akan menjual kepada pengguna bagi memperoleh keuntungan. Tidak boleh salahkan mereka semata-mata kerana harga yang dibeli oleh mereka daripada peniaga lain pun sudah tinggi maka sudah tentulah terpaksa menjual dengan harga yang lebih tinggi. Inilah yang perlu dilihat secara menyeluruh bagi membolehkan tiada pihak bermaharajalela berkuasa meletakkan harga sesuatu produk. Lebih-lebih lagi dalam situasi sesuatu produk yang dikeluarkan dan dipasarkan adalah produk yang dimonopoli oleh mereka.
Maka, sudah tentulah mereka ini boleh sahaja meletakkan harga sesuka hati. Pada masa sama, pelbagai alasan diberikan untuk merasionalkan harga produk tersebut. Rakyat dihidangkan dengan pelbagai alasan seolah-olah sudah menjadi sebati dalam kehidupan mereka. Justeru, dalam hal ini, rakyat benar-benar mengharapkan isu harga barangan yang semakin mahal ini ditangani dengan berkesan.
Tidak ramai yang berpendapatan tinggi. Yang ramai berpendapatan sederhana dan rendah. Maka, biarlah harga barangan mahupun perkhidmatan setimpal dengan kehidupan mereka. Lebih-lebih lagi selepas GST berkadar sifar, rakyat menantikan harga barangan mengalami penurunan bersesuaian dengan taraf hidup dan pendapatan majoriti rakyat Malaysia.
DR. ROHAMI SHAFIE ialah Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan, Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz, Kolej Perniagaan (COB), Universiti Utara Malaysia (UUM).











