MELAKA – Kerajaan negeri bercadang memperkenalkan perkhidmatan MyBAS dalam usaha memperkasa sistem pengangkutan awam di negeri ini, kata Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kemudahan Awam, Mohd. Sofi Abd. Wahab.
Beliau berkata, cadangan berkenaan telah diusulkan Panorama Melaka Sdn. Bhd. yang mengendalikan perkhidmatan bas henti-henti di negeri itu kepada Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).
“Perkhidmatan MyBAS telah dilaksanakan di beberapa negeri seperti di Terengganu, Johor, Pulau Pinang dan Selangor dan kita dapat melihat keberkesanan perkhidmatan berkenaan dalam memberi perkhidmatan pengangkutan awam terbaik kepada rakyat.
“Cadangan ini akan mengambil masa kerana ia memerlukan perbincangan dan kajian rapi bagi mereaslisasikannya, ia dijangka dapat dilaksanakan selewat-lewatnya awal tahun hadapan,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Turut hadir Pengurus Besar Panorama Melaka Sdn. Bhd., Abu Bakar Jani.
Mengulas lanjut, Mohd. Sofi berkata, proses transformasi sistem pengangkutan awam di negeri itu akan mengambil masa kerana ia melibatkan beberapa pihak serta banyak proses termasuk pemilihan syarikat bas baharu untuk mengendalikannya.
Beliau berkata, bagi jangka masa panjang, pelaksanaan perkhidmatan MyBAS dilihat dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas khususnya di kawasan tumpuan pelancong selain kadar tambang yang dikenakan lebih rendah.
Sementara itu, beliau berkata, sebanyak tujuh lagi bas Panorama Melaka telah dibaiki dan menjadikan jumlah keseluruhan bas henti-henti yang beroperasi di negeri itu sebanyak 24 berbanding 17 sebelum ini.
“Kita telah memanggil syarikat Scomi Group yang membekalkan bas berkenaan untuk membaiki bas yang rosak dan semua kos ditanggung mereka berdasarkan kontrak yang ditandatangani melibatkan tempoh 2012 hingga 2019,” katanya.
Beliau berkata, empat lagi bas lama sedang dibaiki dan ia dijangka akan mula beroperasi lewat minggu ini bagi memastikan keseluruhan 21 laluan akan beroperasi, sekaligus menyelesaikan isu kelewatan bas henti-henti di negeri ini. – Bernama











