Maut sebelum solat tarawih - Utusan Malaysia

Maut sebelum solat tarawih

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN 27 Mei – Permintaan seorang warga emas untuk menikmati sate sewaktu berbuka puasa tidak kesampaian apabila dia maut dilanggar lori ketika melintas jalan menuju ke masjid bagi menunaikan solat sunat tarawih di Kilometer 21 Jalan Teluk Intan – Langkap, di sini semalam.

SALAMIAH BASRI
SALAMIAH BASRI

Nahas pada pukul 8,45 malam itu meng­akibatkan Salamiah Basri, 74, cedera parah dan meninggal dunia di Hospital Teluk Intan semasa menerima rawatan.

Anak mang­sa, Nizawati Se­kiman, 30, berkata, sebelum kejadian berlaku, ibunya ada meminta dia membelikan sate untuk berbuka puasa namun tidak sempat menunaikan permintaan itu.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya dan keluarga sedih, namun reda dengan kejadian itu. Saya tidak menyangka arwah pergi meninggalkan kami sekeluarga dan dia tidak menunjukkan sebarang perubahan sebelum kejadian tersebut,” katanya ketika ditemui.

Menurut Nizawati, sewaktu kejadian, arwah ibunya bersama dua anaknya berjalan kaki menuju ke masjid untuk menunaikan solat sunat tarawih.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Mohd. Marzukhi Mohd. Mokhtar berkata, ketika kejadian, lori dipandu lelaki berusia 61 tahun itu dalam perjalanan dari Langkap ke Teluk Intan.

Menurutnya, apabila sampai di lokasi kemalangan, mangsa dan cucunya telah melintas jalan dan pemandu lori tersebut cuba mengelak daripada melanggar mereka namun gagal.

“Lelaki itu cuba memberhentikan kenderaan yang dipandunya serta mengelak namun tidak berjaya sebelum melanggar mangsa dan terbabas.

“Akibat kemalangan itu, pejalan kaki tersebut parah dan meninggal dunia di Hospital Teluk Intan manakala pemandu lori serta cucu mangsa pula tidak cedera,” katanya.

Mohd. Marzukhi memberitahu, siasatan lanjut kes itu dibuat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini