Maut ditetak di leher, kaki hampir putus - Utusan Malaysia

Maut ditetak di leher, kaki hampir putus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLUANG 24 Mei – Para pelanggan sebuah restoran di Jalan Aziz Awab di sini lari bertempiaran apabila sekumpulan empat lelaki tidak dikenali tiba-tiba menyerang seorang mangsa yang sedang minum di Kluang Baru di sini semalam.

Drama pembunuhan pada pukul 10.26 malam itu dipercayai bermula apabila salah seorang suspek yang bersenjatakan parang terus menetak leher lelaki tersebut dari arah belakang.

Mangsa, Beh Lee Ming, 44, yang sedang minum bersama-sama rakannya sempat melarikan diri sejauh beberapa meter sebaik sahaja terkena libasan pertama senjata tajam itu.

Namun, mangsa yang bekerja sebagai jurujual berjaya ditahan suspek tidak lama kemudian sebelum ditetak berulang kali di beberapa bahagian badan termasuk punggung dan lengan kirinya.

Pemangku Ketua Polis daerah, Deputi Superintenden Abdul Razak Abdullah Sani berkata, ke­dua-dua betis mangsa juga hampir putus ditetak suspek.

“Polis masih menyiasat motif pembunuhan itu termasuk mengesan empat lelaki tersebut yang menaiki dua buah motosikal ketika menyerang mangsa di restoran berkenaan.

“Mangsa meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom akibat kecederaan parah di beberapa bahagian badan termasuk leher,” katanya di sini hari ini.

Menurut Abdul Razak, pihak­nya telah menahan sepasang kekasih berusia 47 dan 44 tahun bagi membantu siasatan kes tersebut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Ujarnya, lelaki yang bekerja sebagai tukang servis pendingin hawa dan teman wanitanya yang tidak bekerja itu kini direman selama seminggu sehingga 31 Mei ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN