KUALA LUMPUR – Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu memohon maaf atas kesilapannya tidak berhenti memberikan penghormatan kepada Panji-panji Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja sewaktu pemeriksaan perbarisan Kawalan Kehormatan Utama di Kementerian Pertahanan di sini pagi tadi.
Menerusi satu status di laman Facebooknya, Mohamad yang memulakan tugas hari ini berkata, beliau masih dalam proses memahami aspek protokol ketenteraan.
“Saya ingin memohon maaf di atas kekhilafan saya kerana tidak berhenti memberikan penghormatan kepada Panji-panji Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja sewaktu pemeriksaan perbarisan Kawalan Kehormatan Utama di Kementerian Pertahanan pagi tadi.
“Saya sedia maklum berkenaan perkara tersebut seperti yang telah ditaklimatkan kepada saya namun sebagai manusia biasa kita juga tidak lari dari melakukan kesilapan.
“Saya akan cuba melakukan yang terbaik demi Kementerian Pertahanan dan Angkatan Tentera Malaysia secara keseluruhannya,” katanya. – K! ONLINE










