Masyarakat sekitar kawasan operasi Petronas terima air bersih - Utusan Malaysia

Masyarakat sekitar kawasan operasi Petronas terima air bersih

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU – Petronas Dagangan Sdn. Bhd. (PDSB) hari ini memperluaskan jaringan program Air Untuk Kehidupan ke Kampung Simpang Tiga, Pengkalan Chepa dalam usaha untuk memastikan masyarakat di sekitar kawasan operasi Petronas mendapat perkhidmatan air bersih.

Naib Presiden Pemasaran, Perniagaan Hiliran Petronas, Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir berkata, program berkenaan merupakan salah satu daripada program di bawah tanggungjawab sosial syarikat.

Beliau berkata, menerusi program ini, PDSB bersama dengan Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS),  Jabatan Alam Sekitar dan Air Kelantan Sdn. Bhd. telah memasang tangki air berkapasiti 757 dan 1,514 galon untuk 39 buah rumah.

“Setelah memahami cabaran yang dihadapi oleh penduduk di Kampung Simpang Tiga, kami merasakan program ini perlu diperluaskan di sini untuk membantu menangani isu kekurangan bekalan air bersih.

“Kemudahan ini dilengkapi dengan pam air, sistem perpaipan dan penapisan air untuk membolehkan 200 penghuni di sini mendapat akses kepada bekalan air yang bersih,” katanya pada program berkenaan di Kampung Simpang Tiga di sini hari ini.

Dalam pada itu, Syed Zainal Abidin berkata, program tersebut turut memupuk kepentingan pemuliharaan air dalam memastikan kelestariannya.

“Program kesedaran juga dijalankan untuk mendidik penduduk mengenai pemulihan air dan risiko kesihatan yang berkaitan dengan penggunaan air yang tidak bersih,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×