Marquez raih kemenangan hatrik - Utusan Malaysia

Marquez raih kemenangan hatrik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIS – Pelumba Repsol Honda, Marc Marquez terus me­nguasai saingan Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) apabila melakar kemena­ngan ketiga berturut-turut selepas muncul juara pada Grand Prix (GP) Perancis di Litar Bugatti, Le Mans malam tadi.

Pada saingan tersebut, pelumba Ducati, Jorge Lorenzo yang menguasai kedudukan pertama disaingi hebat oleh pelumba Monster Yamaha Tech3, Johann Zarco serta seorang lagi pelumba Ducati, Andrea Dovizioso.

Bagaimanapun, kedudukan tersebut ti­dak bertahan lama apabila Dovizioso yang berjaya memintas kedudukan pertama telah terjatuh ketika saingan mema­suki pusingan keenam.

Memuatkan artikel berkaitan…

Nasib malang turut menimpa pelumba tuan rumah, Zarco apabila terjatuh pada dua pusingan selepas itu, sekali gus gagal mengulangi pencapaian terbaiknya me­raih podium pada GP Perancis musim lalu.

Dua insiden terbabit memberi peluang kepada Marquez untuk memecut laju memintas Lorenzo di depan dan terus me­nguasai perlumbaan hingga menamatkan sai­ngan dengan catatan 41 minit 49.773 saat.

“Sudah pasti perlumba­an hari ini (semalam) bu­kan mudah kerana semua pelumba sa­­­ngat rapat dan sangat laju. Ketika saingan berlangsung, saya lihat keada­an litar dan ia tidak membuatkan tayar mencengkam berbanding semalam (kelmarin) dan saya sedikit bekerja keras dengan tayar depan.

“Secara keseluruhan, saya sangat gembira dengan kejayaan hari ini dan saya akui kami tidak berlumba dengan mudah di litar ini. Terima kasih kepada pasukan dan peminat khususnya,” katanya sejurus tamat perlumbaan.

Tempat kedua menjadi milik pelumba Alma Pramac Racing, Danilo Petrucci dan pelumba Movistar Yamaha, Valentino Rossi di kedudukan ketiga.

Hasil kemenangan tersebut, Marquez terus unggul pada carta kedudukan pelumba dengan 95 mata, sekali gus me­ninggalkan Maverick Vinales di tempat kedua dengan perbezaan 36 mata diikuti Zarco (58 mata). – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini