Di sini
aku dilahirkan
membesar menyedut angin segar
berpuput dari Laut Cina Selatan
dimesrai lembut suria pagi
tetap menyinari saban hari
diusapi lembayung jingga petang sunyi.
Marang
di sini aku mengenali keindahan
erti cabaran dan kesabaran
menyebati nurani dan urat nadi
jerih para nelayan menyanggah gelombang
tangis anak-anak mereka bila tengkujuh datang
lantaran tiada apa untuk dimakan.
Marang
bumi pesona pariwisata
anugerah Tuhan Maha Esa
keindahannya tak terbandingkan.
Walaupun jauh di perantauan
kala sepi mengasak perasaan
wajahmu tetap terpampan
melambaiku untuk pulang
mengutip kembali kenangan silam
bersama kawan-kawan sepermainan,
disamping ke pusara ayah ibu menitip doa
mengutip kembali pesanan mereka;
redalah dengan ketentuan
usah resah menerima dugaan
kalau benar kita seorang insan hamba Tuhan.
EMRA
Kuala Terengganu











