SINGAPURA – Malaysia adalah tempat paling murah di dunia untuk mengambil ekspatriat sebagai pekerja.
Ini adalah salah satu daripada penemuan utama kajian terbaru MyExpatriate Market Pay yang diterbitkan setiap tahun oleh ECA International, penyedia utama pengetahuan, maklumat dan perisian untuk pengurusan dan tugasan pekerja di seluruh dunia.
Malaysia menyaksikan satu daripada pakej gaji ekspatriat yang jatuh paling dramatik berbanding tahun sebelumnya, menyebabkan ia terus berada di bawah dalam senarai 40 negara.
Nilai pakej pampasan dan faedah tahunan yang biasa untuk seorang pengurus pertengahan ekspatriat di Malaysia menyusut sebanyak AS$17,188 (RM68,442) dan kini AS$150,868 (RM600,756) kurang daripada separuh daripada apa yang akan dikenakan untuk menghantar ekspatriat ke Jepun.
“Malaysia mempunyai kos penginapan yang jauh lebih murah daripada jirannya di Asia dan tahap cukai yang agak rendah, jadi negara itu berada di bahagian bawah ranking sebagai bandar paling murah,” kata Pengarah Serantau-Asia, ECA International, Lee Quane dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, pakej gaji purata ekspatriat di Singapura telah menyusut lebih daripada AS$12,000 (RM47,784) dan kini berada pada AS$223,095, (RM888,364) turun daripada AS$235,545 (RM937,940) pada 2016.
“Ini disebabkan gaji yang lebih rendah yang ditawarkan serta kejatuhan kos pelbagai faedah. Bagaimanapun, Singapura kekal sebagai satu daripada 20 negara paling mahal dari segi kos mengambil kakitangan ekspatriat, walaupun mempunyai kadar cukai peribadi yang sangat rendah,” kata Quane.
ECA International berkata, Jepun adalah tempat paling mahal di dunia untuk mengambil ekspatriat. – Bernama











