PUTRAJAYA 24 Mei – Majlis Penasihat Kesihatan akan ditubuhkan dalam masa 100 hari perkhidmatan kerajaan baharu yang diterajui Pakatan Harapan (PH).

Menteri Kesihatan, Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, majlis itu berperanan untuk menasihati kementerian dalam meningkatkan mutu perkhidmatan kesihatan negara.
Beliau berkata, ahli majlis berkenaan akan terdiri daripada tokoh-tokoh kesihatan yang berpengalaman yang aktif dalam sektor swasta.
“Tokoh-tokoh itu akan bekerjasama dengan pakar-pakar sedia ada dalam pelbagai bidang di kementerian ini. Ini adalah langkah terbaik untuk kita membuat penambahbaikan.
“Majlis ini tidak akan dianggotai oleh pakar luar negara kerana saya berpendapat kita mempunyai kepakaran yang mencukupi dalam bidang kesihatan,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri majlis serah tugas daripada menteri terdahulu, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam di sini hari ini.
Menurut Dzulkefly, selain menubuhkan Majlis Penasihat Kesihatan, beliau juga akan membawa pelbagai perubahan baharu di kementerian tersebut.
“Sekarang saya dalam tempoh untuk meneliti kesemua polisi dan dasar-dasar di kementerian ini. Jika perlukan penambahbaikan, kita akan lakukan.
“Polisi, dasar dan program berkesan yang diperkenalkan Subramaniam juga akan diteruskan kerana kita mengutamakan perkhidmatan kesihatan yang terbaik,” katanya.
Sementara itu, Dzulkefly berharap beliau dapat memberikan perkhidmatan terbaik sekali gus meneruskan kecemerlangan kementerian ini yang sebelum ini diterajui Subramaniam.
“Kementerian ini merupakan kementerian yang terpenting kepada rakyat dan kecemerlangannya bertaraf dunia akan diteruskan di bawah pentadbiran saya.
“Dahulu semasa Dr. Subramaniam menjawat jawatan menteri, kita juga memberi sokongan kepada beliau terutama dalam pertambahan peruntukan untuk menjayakan program kesihatan,” katanya.









