PADANG BESAR 21 Mei – Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail telah berkenan melancarkan Kempen Zakat, Wakaf dan Sedekah 2018 oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar, di sini semalam.
Kempen itu bertujuan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat dalam aspek kutipan zakat, wakaf dan sedekah.
Pada masa sama menggalakkan agar setiap golongan masyarakat menyalurkan maklumat asnaf kepada MAIPs untuk tindakan khususnya penyaluran bantuan.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MAIPs, Mohd. Nazim Mohd. Noor berkata, menerusi kempen itu, iklan berkaitan perkara itu akan dimuat naik di laman-laman sosial dan laman portal rasmi MAIPs.
Katanya, selain itu, kempen akan turut disiarkan melalui radio PerlisFM sepanjang Ramadan dan sepanjang tahun ini.
“MAIPs berterima kasih kepada semua penyumbang budiman yang telah menunaikan ibadah zakat, wakaf dan sedekah melalui MAIPs selama ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Pada majlis berkenaan, Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga Yang Dipertua MAIPs berkenan mengurniakan sumbangan agihan zakat MAIPs kepada 120 orang asnaf terpilih dalam kalangan kariah-kariah masjid kawasan Padang Besar yang pada kali ini melibatkan jumlah keseluruhan sebanyak RM72,000.
Setiap penerima masing-masing menerima wang tunai sebanyak RM600. – UTUSAN ONLINE











