Mahu di bawah kementerian khas - Utusan Malaysia

Mahu di bawah kementerian khas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG – Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd. (Angkasa) mahu kerajaan meletakkan gerakan koperasi itu di bawah satu kementerian khas dalam memperkasakan peranan mereka.

Usaha itu sekali gus dapat membantu pembangunan ekonomi negara.

Presidennya, Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, sehingga kini kerajaan belum memutuskan pihak yang akan bertanggungjawab terhadap ge­rakan koperasi seluruh negara berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya menyeru supaya kerajaan dapat memutuskan secepat mungkin berhubung perkara itu agar gerakan koperasi dapat berkembang dan merancang program tahunan.

“Saya percaya jika ada satu kementerian yang dikhaskan untuk menjaga koperasi, peranan gerakan ini terus diperhebatkan dan menyokong pembangunan ekonomi negara memandangkan ia mempunyai kira-kira 6.5 juta ahli di seluruh Malaysia.

“Menerusi satu kementerian khas, kami juga yakin dapat memberi fokus arah tuju koperasi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis Berbuka Puasa dan Sumbangan kepada Rumah Kebajikan Anak Yatim dan Miskin Al Munirah, Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim dan Miskin Darul Khusus (Peyakin), Rumah Kebajikan Anak Yatim Al Khairiyah dan Pusat Jagaan Nur Ekhwan Ku di Hotel Aliya dekat sini kelmarin.

Abdul Fattah berkata, Angkasa bersedia memberi kerjasama penuh kepada kerajaan persekutuan dalam membincangkan hala tuju koperasi bagi memacu pergerakan berkenaan ke arah yang lebih berkesan.

“Gerakan koperasi perlu diperkasakan lagi dalam membantu menyelesaikan masalah kemiskinan rakyat, kita melihat keperluan penyusunan semula agar dapat menyatukan semua anggota supaya gerakan koperasi lebih teratur,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN