KUALA LUMPUR – Sentimen ‘mahu cuba’ kerajaan baharu dipercayai menjadi antara faktor rakyat di lima negeri memilih Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU-14) untuk menerajui dalam tempoh lima tahun akan datang.
Penganalisis politik berpendapat, isu semasa seperti 1Malaysia Development Berhad (1MDB), cukai barang dan perkhidmatan (GST) dan kos sara hidup yang tinggi juga menyebabkan berlakunya peralihan sokongan terhadap pemerintahan Barisan Nasional (BN) selama lebih 60 tahun.
Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa, Majlis Profesor Negara (MPN), Prof. Datuk Seri Dr. Mohamed Mustafa Ishak berkata, beberapa isu tersebut yang menimbulkan persoalan kepada rakyat lebih tiga tahun lepas berlarutan tanpa sebarang jawapan meyakinkan dari kerajaan BN.
“Perubahan ini mungkin sentimen mencuba lima tahun untuk ubah kerajaan yang telah tersebar luas selain peranan media sosial membantu dalam mengubah persepsi rakyat yang akhirnya memberi kelebihan kepada Pakatan Harapan,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Katanya, tsunami Melayu yang berlaku pada PRU-14 walaupun bukan dalam jumlah yang besar, namun cukup untuk menumbangkan BN.
Pada PRU-14, gabungan PH yang dianggotai PKR, DAP, Amanah dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang kemudiannya dibatalkan pendaftarannya oleh jabatan PendaftaranPertubuhan (ROS) memenangi 113 majoriti mudah kerusi parlimen yang membolehkan mereka mengambil alih kerajaan dan membentuk kerajaan persekutuan baharu.
Selain mengekalkan Pulau Pinang dan Selangor, gabungan itu juga berjaya merampas Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Perak, manakala Kedah dan Sabah masih belum ditentukan selain Pahang dan Perlis masih di bawah pemerintahan BN.
Sementara itu, seorang lagi penganalisis politik, Prof. Dr. Sivamurugan Pandian pula berpendapat, sentimen antiBN yang telah menebal juga menyebabkan apa jua yang dilakukan parti pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak termasuk mengenegahkan calon berwibawa tetap ditolak pengundi.
“Ini adalah fenomena tsunami rakyat membabitkan pelbagai kumpulan yang menolak apa sahaja berkaitan BN termasuk bekas wakil rakyat yang memberikan perkhidmatan terbaik di Perak, Negeri Sembilan dan Johor,” katanya. – Bernama










