SEPANG – Lima lelaki cedera ditikam seorang lelaki dalam satu kejadian di Kampung Jenderam Hulu, Dengkil kira-kira pukul 2.30 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Abdul Aziz Ali berkata, suspek bertindak sedemikian selepas nasihatnya kepada mangsa yang merupakan jiran sebelah rumahnya supaya tidak membuat bising pada waktu malam tidak diendahkan.
“Suspek telah menegur supaya kawan-kawan jiran balik tetapi tidak diendahkan. Suspek rasa tercabar dengan kelakuan dan sikap jiran sebelah yang membunyikan ekzos motosikal pada waktu malam.
“Suspek telah hilang sabar dan mengambil pisau di rumah dan pergi ke rumah sebelah dan berlaku pergaduhan dan telah menikam kesemua mangsa,” katanya.
Difahamkan, suspek telah mengadu kepada isterinya mengenai jiran sebelah rumahn mereka yang selalu membuat bising sejak lima tahun lalu.
Menurut Abdul Aziz, suspek kemudian melarikan diri selepas melakukan kejadian itu manakala kelima-lima mangsa yang mempunyai hubungan bapa dan anak serta tiga kawan anak dihantar ke Hospital Serdang menaiki ambulans.
“Siasatan dan tindakan mengesan suspek masih dijalankan,” katanya. – K! ONLINE








