JALALABAD, Afghanistan – Seramai lapan orang terbunuh dan 45 lagi cedera dan satu siri letupan bom yang menyasarkan pertandingan kriket di timur bandar raya Jalalabad, kata beberapa pegawai semalam iaitu serangan pertama dalam bulan Ramadan.
Letupan berlaku di dalam stadium kira-kira pukul 11 malam kelmarin ketika penonton menyaksikan perlawanan tempatan ‘Piala Ramadan’, kata pejabat gabenor wilayah itu.
Bagaimanapun, tiada pihak mengaku bertanggungjawab terhadap insiden dan militan Taliban menafikan mereka terlibat menerusi aplikasi WhatsApp.
Jalalabad merupakan ibu negeri wilayah Nangarhar dan pernah dikuasai pergerakan Taliban serta merupakan kubu kuat kumpulan Daesh.
Presiden Afghanistan, Ashraf Ghani semalam mengutuk serangan di Jalalabad.
“Kumpulan pengganas tidak berhenti membunuh orang-orang kita walaupun ketika menyambut bulan Ramadan yang mulia,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pejabatnya.
Pada lewat 1990-an, sukan kriket pernah diharamkan di bawah undang-undang keras rejim Taliban.
Namun populariti kriket melonjak beberapa tahun selepas pencerobohan Amerika Syarikat, yang menyaksikan Afghanistan menjadi antara kumpulan negara elit sukan itu tahun lalu. – AFP











