PENAMPANG 31 Mei – Kerajaan Pakatan Harapan perlu meletakkan keutamaan yang serius dalam aspek kemajuan dan pembangunan Sabah secara menyeluruh.
Naib Presiden PKR, Tian Chua berkata, perkara itu adalah penting bagi memastikan negeri ini terus mendapat manfaat kemajuan menerusi hubungan baik antara kerajaan negeri dengan kerajaan pusat ketika ini.
“Saya berharap agar kerajaan baharu ini meletakkan keutamaan kepada Sabah untuk dibangunkan dan dimajukan dalam semua aspek iaitu ekonomi, budaya dan pembangunan masyarakat.
“Saya juga cukup optimis kerana Sabah mempunyai kekayaan yang luar biasa dan ia bukan sahaja daripada segi sumber alam aerta bakat dan budaya yang pelbagai,” katanya ketika ditemui dalam perasmian Penutup Pesta Kaamatan di sini hari ini.
Terdahulu Mohd. Shafie menyempurnakan perasmian tersebut yang turut dihadiri isternya, Datin Seri Shuryani Shuaib dan Pengerusi Jawatankuasa Induk Perayaan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri 2018, Datuk Peter Anthony.
Beliau yang pernah disenarai hitam daripada memasuki Sabah sejak empat tahun lalu turut menzahirkan rasa gembila selepas peralihan kuasa telah membolehkan beliau dapat memasuki negeri ini semula.
“Saya cukup gembira dan bersyukur kerana sudah boleh berpijak di bumi Sabah selepas dihalang kerajaan sebelum ini.
“Terima kasih kepada kepimpinan kerajaan baharu khususnya Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal kerana telah mengeluarkam nama saya daripada disenarai hitam,” katanya.
Tian Chua yang juga Anggota Parlimen Batu selama dua penggal sejak 2008 hingga 2018 sebelum ini dikenakan Larangan Jabatan Imigresen Sabah daripada memasuki negeri itu kerana atas faktor keselamatan berhubung kes pencerobohan di Lahad Datu. – UTUSAN ONLINE










