PERMATANG PAUH 25 Mei – Pemandu kereta Toyota Vios yang terlibat dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan sehingga mengorbankan seorang jururawat pagi ini disahkan positif dadah jenis ganja dan amphetamine.
Perkara itu disahkan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid yang memaklumkan lelaki berusia 44 tahun itu kini ditahan dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Menurutnya, lelaki yang berasal dari Lunas, Kedah itu mengalami cedera ringan pada tangan manakala pemandu dua buah kenderaan pacuan empat roda (4WD) jenis Mitsubishi Triton tidak cedera.
Dalam kejadian pukul 7.30 pagi itu, seorang jururawat, Nur Hidayah Mahmud, 32, yang bertugas di Hospital Seberang Jaya maut di tempat kejadian di Kilometer 8.1 Lebuhraya Butterworth Kulim.
Kejadian dipercayai berpunca daripada kereta Toyota Vios yang datang dari arah Seberang Jaya menghala ke Kulim melanggar belakang sebuah 4WD jenis Mitsubishi Triton.
Akibat rempuhan kuat itu, kereta yang dipandu lelaki itu terbabas dan berpusing ke arah jalan bertentangan sebelum menghempap kereta Perodua Viva yang dipandu Nur Hidayah. – UTUSAN ONLINE











