KOTA KINABALU – Seorang lelaki dipercayai warganegara asing bukan sahaja tidak sempat ‘menikmati’ hasil curinya malah turut cedera selepas terjun dari tingkat tiga bangunan Api-Api Centre di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah hari itu, suspek yang berusia 29 tahun dijumpai dalam keadaan tidak sedarkan diri selain mengalami kecederaan retak pada bahagian dagu dan patah tapak kaki kiri.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner M. Chandra berkata, dimaklumkan, sebelum insiden seorang pengawal keselamatan menemui suspek dalam keadaan mencurigakan sambil menyelongkar tas tangan wanita warna kelabu.
Sehubungan itu, pengawal keselamatan berkenaan segera membawa suspek ke pejabat sekuriti.
“Semasa dalam perjalanan ke pejabat sekuriti suspek secara tiba-tiba cuba melarikan diri dan terjun dari tingkat tiga lalu terjatuh di lantai bahagian belakang bangunan tersebut.
“Kesan tindakannya itu, lelaki terbabit mengalami kecederaan dan tidak sedar diri,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini hari ini.
Tambah Chandra, suspek dihantar ke Hospital Queen Elizabeth 1 di sini untuk tindakan lanjut.
“Hasil pemeriksaan terhadap suspek, kami menemui sebuah telefon, dompet kecil berwarna coklat dan wang tunai RM45 di dalam poket seluarnya.
“Suspek juga mempunyai empat rekod kesalahan lampau termasuk kes pecah rumah dan penagihan dadah,” ujarnya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan. – K! ONLINE











