Lawatan keluarga banduan 17-18 Jun - Utusan Malaysia

Lawatan keluarga banduan 17-18 Jun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 31 Mei – Jabatan Penjara menetapkan 17 dan 18 Jun ini sebagai tarikh lawatan keluarga penghuni sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Timbalan Pengarah Dasar Kepenjaraan, Jabatan Penjara, Supri Hashim berkata, tarikh itu ditetapkan bagi semua penjara, pusat pemulihan akhlak, pusat pemulihan khas, tempat tahanan khas dan Sekolah Henry Gurney dengan semua lawatan di institusi penjara ditutup pada hari pertama dan kedua perayaan.

“Keutamaan lawatan pada hari berkenaan diberi kepada penghuni yang beragama Islam sahaja dan Jabatan Penjara menetapkan bahawa waktu lawatan bagi pelawat bermula dari pukul 8.15 pagi hingga 4.15 petang,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Supri berkata, pelawat diminta membawa kad lawatan serta kad pengenalan bagi memudahkan urusan dan mereka dilarang membawa makanan dan minuman dari luar serta tidak digalakkan memberi wang kepada penghuni memandangkan semua kemudahan asas telah disediakan Jabatan Penjara.

“Sekiranya pelawat ingin memberi wang kepada penghuni atas urusan tertentu seperti bayaran yuran peperiksaan dan sebagainya, sila dapatkan resit rasmi sebagai akuan penerimaan,” katanya.

Menurutnya, pihak penjara berhak membuat pemeriksaan fizikal ketika pelawat masuk dan keluar penjara kerana ia tertakluk kepada Akta dan Peraturan Penjara. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN