KUALA LUMPUR 23 Mei – Mengakui dirinya semakin kurang menerima undangan bagi menjayakan persembahan, penyanyi yang popular menerusi lagu Pertama Kali iaitu Shaa atau Juzratul Nisha Johari, 23, kembali berniaga untuk memperoleh pendapatan sampingan.
Menurut anak kelahiran Kuala Kedah, Kedah itu, dia tidak berasa malu untuk mencari rezeki dengan berniaga makanan di bazar Ramadan kerana itulah kerjayanya sebelum ini yang pernah menjual ayam percik di kampung halamannya.
“Bulan puasa ini saya berniaga martabak di bazar Seksyen 20, Shah Alam kerana sepanjang Ramadan, memang tiada tawaran untuk menjayakan sebarang persembahan.
“Jadi, daripada saya membuang masa, lebih baik saya cari peluang untuk berniaga, dapat jugalah duit tambahan untuk saya buat perbelanjaan menjelang sambutan raya nanti,” katanya berterus terang.
Tambah Shaa, martabak jualannya ada keistimewaan tersendiri kerana menggunakan kulit popia serta inti yang diadun mengikut resipi sendiri.
Selain menyanyi, Shaa sebenarnya terlalu gemarkan bidang perniagaan makanan dan berharap suatu hari nanti dia dapat membuka sebuah restoran.
Katanya, dia bercadang mencari tapak perniagaan di sekitar Shah Alam dan mahu memulakan bisnes dengan menjual char kuetiau.
Dalam perkembangan lain, Shaa menambah, dia dijangka mengeluarkan single keduanya selepas Aidilfitri nanti. – UTUSAN ONLINE










