Kumpulan Affin Bank catat PBZT RM186.8 juta - Utusan Malaysia

Kumpulan Affin Bank catat PBZT RM186.8 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 31 Mei – Kumpulan Affin Bank melaporkan keuntungan sebelum cukai selepas zakat (PBZT) yang lebih tinggi sebanyak RM186.8 juta bagi suku berakhir 31 Mac 2018 berbanding RM125.3 juta pada suku yang sama tahun sebelumnya.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kamarul Ariffin Mohd. Jamil berkata, keuntungan selepas cukai (PAT) kumpulan turut meningkat sebanyak 61.8 peratus daripada RM90.2 juta kepada RM146 juta bagi suku tahun yang ditinjau.

Jelasnya, peningkatan prestasi itu didorong oleh kenaikan pendapatan fi dan komisen perbankan, keuntungan bersih ke atas instrumen kewangan, pendapatan perbankan Islam dan pendapatan faedah.

“Memandangkan kehendak pelanggan yang kian berkembang, kumpulan perlu sentiasa inovatif dan fleksibel. Melalui penyusunan semula pada 16 Oktober 2017, Affin Bank telah menjadi syarikat induk kepada Affin Islamic Bank, Affin Hwang Investment Bank, Affin Moneybrokers, AXA Affin Life Insurance manakala AXA Affin General Insurance menjadi syarikat bersekutu kepada Bank.

“Affin Bank juga telah melaksanakan Program Transformasi AFFINITY, yang merangkumi semua aspek operasi perbankan, yang akan membuka peluang-peluang baru untuk mendorong Kumpulan ke tahap pertumbuhan seterusnya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Kamarul Ariffin, bagi tiga bulan yang berakhir pada 31 Mac lalu itu, Affin Bank juga melaporkan keuntungan sebelum cukai (PBT) yang lebih tinggi sebanyak RM108 juta berbanding RM92.5 juta bagi suku sama tahun sebelumnya.

“Prestasi yang lebih baik ini disebabkan oleh penambahbaikan kualiti aset bernilai RM30.5 juta berbanding dengan peruntukan pinjaman tidak berbayar sebanyak RM1.3 juta pada tahun sebelumnya, di mana sebahagiannya diimbangi oleh perbelanjaan overhed yang lebih tinggi.

“Dalam usaha mempertingkatkan amalan pengurusan risiko operasi Bank, Affin Bank telah menandatangani perjanjian dengan Asian Banking School (ABS) pada bulan Mac tahun ini untuk melaksanakan Kajian Semula Risiko Operasi dan Analisis Senario.

Sementara itu katanya, Affin Islamic Bank turut mencatatkan keuntungan sebelum cukai, berjumlah RM32.3 juta bagi suku tahun semasa berbanding RM32.8 juta bagi suku tahun sebelumnya.

“Sepanjang suku semasa juga, Affin Islamic mencatatkan peningkatan pendapatan operasi sebanyak RM24.5 juta berbanding suku yang sama tahun lepas.

“Affin Islamic akan terus berusaha untuk mencapai pertumbuhan lestari dan kecekapan operasi, dan meningkatkan portfolio pembiayaan Islam kepada 40 peratus daripada portfolio Kumpulan menjelang 2020,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN