PUTRAJAYA 21 Mei – Tun Dr. Mahathir Mohamad menjelaskan, kerajaan memberi tumpuan kepada meningkatkan kuasa beli rakyat berbanding menjadi negara status berpendapatan tinggi.
Perdana Menteri berkata, rakyat yang mempunyai pendapatan tinggi tidak memberi sebarang makna sekiranya harga barangan meningkat atau kurang daya membeli di dalam kalangan pengguna.
“Banyak perkara perlu dikaji kerajaan tetapi berilah kita sedikit masa untuk melakukan perubahan.
“Kerajaan akan melakukan perubahan, namun anggota pentadbiran perlu memberi kerjasama dan sumbangan ilmu yang ada kepada kita,” katanya ketika berucap dalam Majlis Pertemuan Perdana Menteri bersama warga Jabatan Perdana Menteri di Dataran Putra, Bangunan Perdana Putra di sini hari ini.
Dalam pada itu, Dr. Mahathir menggesa para penjawat awam untuk meningkatkan ilmu pengetahuan agar menenuhi keperluan pelaburan baharu yang berpandukan teknologi terkini.
“Saya harap dengan pertukaran kerajaan kita dapat perbaiki banyak masalah negara terutamanya masalah kewangan.
“Kita yakin dapat atasi masalah ini tetapi kita memerlukan kepada pentadbiran yang cekap, efisien dan mereka yang amanah dan boleh dipercayai, itulah harapan saya,” katanya. – UTUSAN ONLINE











