KUALA LUMPUR 24 MEI – Lukisan grafiti boleh menjadi seni yang indah dan mengagumkan jika disalur kena pada tempatnya.
Apatah lagi jika lukisan itu berjaya menyampaikan mesej-mesej positif seperti semangat patriotisme, keamanan, perpaduan dan motivasi dengan berkesan.
Namun keadaan bertukar sebaliknya jika dalam lukisan itu terselit imej yang berbaur lucah, ganas, provokasi dan hasutan yang mencacatkan imej dan persekitaran terutama di tempat awam.
Tinjauan Utusan Malaysia di sekitar ibu kota mendapati dinding dan tembok di kawasan tumpuan orang ramai dan pelancong seperti Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Pasar Seni dan Jalan Petaling di sini dipenuhi grafiti sepanjang beratus-ratus meter.
Walaupun sebahagian daripada lukisan itu memaparkan kerja seni yang wajar dipuji, ia tetap menimbulkan persoalan adakah perlakuan itu dibenarkan oleh pihak berkuasa tempatan.
Tanpa menuding jari kepada mana-mana pihak, bakat seni seperti itu wajar dimartabatkan melalui saluran yang betul untuk kesan yang lebih positif.
Penglibatan pihak berkuasa tempatan dengan kumpulan remaja yang terlibat dalam seni tersebut misalnya boleh menghasilkan kerjasama yang menarik dan bermanfaat.
Selain menyediakan tembok dan dinding sebagai kanvas untuk mereka melukis, usaha itu juga boleh digunakan untuk menghidupkan lagi suasana bandar menjadi lebih berseri dan berwarna-warni terutama di kawasan yang kurang ceria.









