KPDNKK Sabah pantau harga barangan - Utusan Malaysia

KPDNKK Sabah pantau harga barangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU 27 Mei – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNK) negeri komited menjalankan pemeriksaan dan operasi bagi memastikan kawalan harga barang mentah berada pada tahap yang sewajarnya.

Ketua Pegawai Penguatkuasa Negeri Sabah, V. Ravichandran berkata, ia bertujuan memastikan peniaga tidak mengambil kesempatan dengan sewenang-wenangnya menaikkan harga barangan sempena musim perayaan Pesta Kaamatan.

Katanya, sehingga hari ini, KPDNKK masih tidak mendapat sebarang aduan tentang kenaikan harga barangan secara mendadak oleh peniaga.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Namun pihak KPDNKK negeri mengambil tindakan proaktif dengan melakukan pemantauan rapi terhadap peniaga bagi mengelakkan kenaikan harga barang.

“Kita tidak mahu ada peniaga yang mengambil kesempatan menaikkan harga barangan keperluan sepanjang musim perayaan ini dan pemantauan serta pemeriksaan dilakukan setiap hari,” katanya di sini hari ini.

Terdahulu seramai 12 anggota termasuk dua pegawai daripada Unit Operasi KPDNKK, Nukley Ajik dan Unit Harga, Awang Azri Yahya melakukan operasi pemeriksaan harga barangan mentah di Pasar Besar Kota Kinabalu.

Dalam pada itu, Ravichandran berkata, semua bekalan barangan keperluan bagi menyambut hari perayaan kelak masih mencukupi di semua peringkat pemborong dan peruncit.

Tegasnya, semua peniaga diminta untuk mematuhi peraturan dan undang-undang sedia ada bagi mengelakkan tindakan tegas dikenakan termasuk didakwa di mahkamah.

“Jika ada peniaga yang menaikkan harga barangan, kita boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011,” jelasnya.

Sementara itu, beliau berkata, sebanyak 10,896 premis telah diperiksa sejak Januari lalu dan daripada jumlah itu, sebanyak 216 premis telah dikenakan tindakan atas kesalahan di bawah pelbagai akta. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini