PUTRAJAYA – Menjelang pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada kadar sifar peratus berkuat kuasa 1 Jun ini, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) di seluruh negara dilihat bersungguh-sungguh turun padang bagi memantau harga sambil memberi penerangan mengenai perkara itu kepada peniaga, peruncit dan orang ramai.
Penguat kuasa KPDNKK sudah beberapa hari membuat tinjauan trend harga barang di kebanyakan pasar raya, kedai runcit dan pasar-pasar basah bagi memastikan menjelang 1 Jun ini, tiada lagi barang dan perkhidmatan naik harga secara tidak munasabah. Pasukan penguat kuasa KPDNKK tersebut juga melakukan pemeriksaan harga barang bagi memastikan tidak ada peniaga menaikkan harga menjelang Hari Raya Aidilfitri pada 15 atau 16 Jun ini.
Ketua Setiausaha KPDNKK, Datuk Seri Jamil Salleh berkata, operasi pemeriksaan harga barang yang sedang berlangsung itu merupakan perkara biasa menjelang musim perayaan dan lebih istimewa apabila dalam tempoh empat hari lagi negara akan melaksanakan GST sifar.
Menurut beliau, operasi besar-besaran tersebut dimulakan pada 17 Mei iaitu hari pertama umat Islam berpuasa bagi memantau harga barang.
“Sepanjang Ramadan, operasi pemeriksaan yang dilakukan berjalan lancar dan rata-rata peniaga memberikan kerjasama yang amat baik,” kata beliau.
Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.











