PORT DICKSON – Mahkamah Majistret di sini hari ini membenarkan kes membabitkan seorang anggota tentera yang menghadapi pertuduhan membunuh anak kandungnya berusia sembilan tahun, Januari lalu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Seremban.
Majistret Siti Khairiah Abdul Razak memutuskan demikian selepas Timbalan Pendakwan Raya, A. Ashwini memohon kes itu dipindahkan ke mahkamah tersebut.
Bagaimanapun, tarikh sebutan kes berkenaan di Mahkamah Tinggi Seremban masih belum ditetapkan.
Berdasarkan pertuduhan, Mohammad Abdullah Mohamed didakwa membunuh sehingga menyebabkan kematian Nur Aina Nabihah di sebuah rumah di Taman Vista Jaya di Lukut dekat sini antara pukul 8.30 hingga 11.30 malam, 31 Januari lalu.
Lelaki berusia 35 tahun itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.
Mohammad Abdullah yang tidak diwakili peguam sebelum ini dihadapkan ke mahkamah tersebut pada 12 Februari dan 15 Mac lalu. – K! ONLINE









