SEBERANG PERAI – Seorang kerani Bahagian Pengurusan Aset dan Perolehan Zakat Pulau Pinang didakwa di Mahkamah Sesyen Butterworth di sini hari ini atas dua pertuduhan pecah amanah membabitkan wang berjumlah RM2,592 tiga tahun lalu.
Tertuduh, Mohd. Nazrol Shaari, 34, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan meminta dibicarakan selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Nizam Zakaria.
Mengikut pertuduhan pertama, Mohd. Nazrol didakwa telah melakukan pecah amanah dengan memasukkan wang tunai RM1,650 bagi urusan pembayaran saman kenderaan agensi berkenaan ke dalam akaun peribadinya di Zakat Pulau Pinang, No. 4, Jalan Perda Selatan, Bukit Mertajam antara 22 April hingga 4 Mei 2015.
Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa dengan kesalahan sama iaitu memasukkan wang sebanyak RM942 untuk pembelian tangga pejabat Zakat Pulau Pinang ke dalam akaun miliknya di lokasi sama pada 25 November 2015.
Tertuduh yang diwakili peguam, Fieza Fazlin Fandi didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu di bawah Seksyen 408 Kanun Keseksaan dengan membawa hukuman maksimum 20 tahun penjara sebatan dan denda jika disabit bersalah.
Dalam prosiding tersebut, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Rais Imran Hamid menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 bagi kedua-dua pertuduhan itu atas alasan kesalahan tersebut adalah serius.
Hakim Nizam kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin selain menetapkan tarikh 26 Jun depan sebagai tarikh pengurusan kes.
Kosmo! difahamkan Mohd. Nazrol telah membayar wang jaminan yang dikenakannya itu pada tengah hari tadi. – K! ONLINE











