KUALA TERENGGANU 23 Mei – Kerajaan Pas akan mengadakan mesyuarat dengan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 7 Jun ini yang kemungkinan turut berkisar soal royalti minyak selain hubungan dengan kerajaan Pusat.
Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, perjumpaan pada awal bulan depan itu seiring dengan mesyuarat kewangan yang turut dihadiri oleh semua Menteri Besar dan Ketua Menteri.
“Semasa mesyuarat tersebut, sama ada dibincangkan atau tidak mengenai royalti adalah perkara kedua,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai tarikh pertemuan dengan Perdana Menteri bagi membicangkan isu royalti minyak ketika meninjau lokasi kebakaran melibatkan dua buah rumah di Kampung Losong Mat Shafei, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Sukan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah dan Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Mohamed @ Hashim.
Sebelum ini, Dr. Mahathir telah memberi jaminan soal itu yang disifatkan sebagai sesuatu yang sangat positif dalam hubungan kerajaan negeri dengan Pusat.
Isu royalti minyak dan gas Terengganu menjadi perhatian apabila Pakatan Harapan dalam manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 baru-baru berjanji akan menyalurkan royalti sebanyak 20 peratus kepada negeri pengeluar hasil bumi itu.
Sementara itu mengulas mengenai kes 1MDB yang sedang disiasat, Menteri Besar berkata, Pas tetap mengambil pendirian yang sama menolak sebarang bentuk penyelewengan.
“Tak kira atas nama 1MDB atau Perwaja, sejak puluhan tahun lagi sampai sekarang kita tetap kosisten menentang penyelewengan.
“Sebarang bentuk penyelewengan berlaku dalam negara, kita tentang dan perlu diadili bukan oleh media, tetapi oleh sistem perundangan yang telus dan adil, begitu juga dengan kes 1MDB,” katanya.
Beliau berkata, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak kurang 20 kali telah memberi kenyataan sama ada kepada Parliman atau media meminta supaya suatu siasatan diadakan secara telus. – UTUSAN ONLINE










