KOTA KINABALU – Kerajaan negeri bersedia mengenalpasti pelan baharu untuk menggantikan cadangan pembinaan Empangan Kaiduan di Penampang bagi mengatasi masalah bekalan air di kawasan sekitar.
Menteri Pembangunan Infrastuktur Sabah, Datuk Peter Anthony berkata, kerajaan negeri akan mengkaji semula cadangan pembinaan empangan itu kerana wujud bantahan dalam kalangan penduduk setempat.
“Cadangan pembinaan empangan Kaiduan telah lama dan ia merupakan pelan projek kerajaan terdahulu.
“Kita sedar wujud bantahan dalam kalangan penduduk setempat. Sehubungan itu, kerajaan negeri sedia mengkaji pelan baharu menggantikan cadangan pembinaan empangan Kaiduan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Malam Bersama Media sempena Perayaan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah di sini hari ini.
Pembinaan empangan Kaiduan merupakan keperluan di Sabah bagi menampung bekalan air di kawasan seperti Kota Kinabalu, Putatan, Penampang dan Sepanggar.
Cadangan pembinaan empangan tersebut mendapat tentangan dalam kalangan penduduk setempat dan aktivis alam sekitar yang bimbang ia akan menganggu ekosistem di kawasan sekitar.
Peter berkata, kerajaan negeri perlu segera merangka pelan baharu kerana kapasiti bekalan air di kawasan terlibat berada dalam keadaan membimbangkan.
Sementara itu mengulas mengenai pelaksanaan perayaan Kaamatan, beliau merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk mengekalkan jawatankuasa sedia ada untuk kelancaran sambutan perayaan itu.
Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, juga kekal sebagai Huguan Siou Kadazan Dusun biarpun berlainan parti politik di peringkat kerajaan negeri. – K! ONLINE










