KUALA LUMPUR 23 Mei – Sistem ‘ombudsman’ iaitu melantik pegawai untuk menyiasat aduan orang ramai terhadap salah laku yang dilakukan pihak berkuasa disaran diwujudkan di seluruh jabatan dan agensi kerajaan dalam negara.
Aktivis sosial, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, beberapa negara seperti Sweden dan New Zealend dilihat berjaya mengurangkan salah laku oleh pihak berkuasa menerusi sistem tersebut.
Katanya, sebelum ini kita telah melaksanakan sistem tersebut untuk Perkhidmatan Kewangan yang mula beroperasi pada Oktober 2016.
“Kita lihat masyarakat ketika ini kurang mempunyai platform yang sesuai untuk membuat aduan terhadap salah laku yang dilakukan oleh pihak berkuasa.
“Kita percaya dengan penubuhan sistem ini salah laku pihak berkuasa mampu dikurangkan sekaligus menjadikan negara lebih aman dan sejahtera,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis iftar anjuran Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) bersama pengamal media, di sini hari ini.
Sementara itu, Lam Thye berkata, dibawah sistem ini, ombudsment boleh dilantik sama ada oleh kerajaan ataupun Parlimen.
“Ramai di antara kita yang teruja untuk melihat bagaimana sistem ini dapat dilaksanakan demi proses pembaharuan institusi yang bakal menjadikan semua jabatan dan agensi kerajaan benar-benar bebas dan profesional untuk memenuhi objektif yang diinginkan,” katanya. – UTUSAN ONLINE










