PUTRAJAYA – Kerajaan akan meneliti semula projek-projek mega dan projek yang telah diberi Surat Setuju Terima (SST), yang telah diluluskan sewaktu pentadbiran terdahulu.
Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata beberapa projek yang telah diberi SST akan disemak, sama ada perlu diteruskan atau tidak, kerana ada beberapa projek yang dibuat tergesa-gesa sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lepas.
“Kita akan menyemak… sama ada ia akan bagi manfaat atau tidak, kerana kita juga kena lihat implikasi undang-undang sekiranya projek itu dihentikan,” katanya kepada media di sini hari ini.
Terdahulu, beliau yang melapor diri di pejabatnya pada 7.45 pagi, mendengar taklimat daripada pegawai pengurusan Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan Jabatan Perdana Menteri.
“Kami mahu melihat semua projek mega yang diluluskan oleh pentadbiran terdahulu, mengkaji semula , dan kami juga mahu merunding semula, tetapi kalau ia belum dilaksanakan, kita akan tumpu hanya pada projek yang akan berikan kesan langsung kepada rakyat,” katanya.
Mohamed Azmin berkata penelitian itu juga termasuk projek Projek Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL), Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR).
“Kita pelu mengkaji apa yang berlaku dan proses yang dilakukan dalam pentadbiran lama, kami mahu memastikan keseluruhan proses bagi memastikan ia dilakukan secara telus dan terbuka* biar saya teliti bersama pihak berkuasa dan agensi yang berkaitan sebelum memutuskan tindakan selanjutnya.
“Tiada lagi rundingan terus dan terhad, ia mesti dilakukan secara terbuka dan telus dalam semua proses perolehan,” katanya.
Mengenai isu hutang negara, Mohamed Azmin berkata ia merupakan kebimbangan utama pentadbiran baharu Kerajaan Pakatan Harapan.
“Kami turut membincangkan (perkara itu) pagi ini, dan perlu mengkaji butiran yang menyumbang kepada jumlah hutang yang besar itu, hampir RM1 trilion, dengan sebahagian daripadanya berpunca daripada proses yang tidak telus dan terbuka, dan ada projek besar tidak dimasukkan dalam bajet negara,” katanya. – Bernama










