ARAU 25 Mei – Satu laporan polis dibuat oleh kerabat Jamalullail di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) bagi menuntut Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Shahidan Kassim supaya segera memohon ampun secara terbuka kepada Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail kerana mempertikaikan pelantikan Menteri Besar.
Wakilnya, Syed Zolkeflee Syed Abdul Rahman berkata, kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan oleh Shahidan berhubung rasa tidak puas hati beliau terhadap isu berkenaan adalah sesuatu yang tidak wajar, apatah lagi baginda sebagai simbol kebesaran negeri yang wajib dihormati.
Kata beliau, kesemua sembilan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) negeri ini juga wajar melakukan perkara sama kerana ingkar hadir pada Istiadat Angkat Sumpah Jawatan dan Menandatangani Watikah Pelantikan Menteri Besar di Istana Arau di sini semalam.
“Saya yang mewakili keluarga besar Jamalullail yang dianggarkan lebih 500 orang sehubungan itu, merasa terpanggil untuk mempertahankan Tuanku Raja Perlis.
“Pada masa sama, kami meminta baginda tetap pada pendirian untuk mengekalkan Datuk Seri Azlan Man selaku Menteri Besar,” katanya ketika ditemui selepas membuat laporan bersama seramai kira-kira 10 orang ahli keluarga berkenaan di IPD itu, di sini hari ini.
Isu pelantikan Menteri Besar mendapat perhatian meluas media-media massa kerana sebaik sahaja Azlan diperkenankan Tuanku Syed Sirajuddin untuk memegang jawatan nombor satu negeri itu, ADUN Bintong tersebut dipecat keahliannya.
Pemecatan itu diumumkan oleh Shahidan yang mengadakan sidang akhbar di ibu negara bersama wakil-wakil rakyat daripada Barisan Nasional (BN).
Berikutan itu, istiadat pelantikan Menteri Besar pada masa sama berlangsung dalam keadaan kurang sempurna kerana tidak dihadiri oleh seorang pun wakil rakyat daripada BN, yang dipercayai memboikot pelantikan Azlan. – UTUSAN ONLINE











