KUALA LUMPUR 25 Mei – Kemelut Menteri Besar Perlis perlu diselesaikan dengan membawa kes tersebut ke mahkamah bagi menuntut perintah deklarasi dan writ of quo warranto.
Ahli Parlimen Sepang, Mohamed Hanipa Maidin berkata, kedua-dua perintah tersebut boleh dilakukan melalui semakan kehakiman yang serupa seperti kes yang pernah berlaku di Perak dahulu.
“Jika saya boleh syorkan, saya cadangkan kes ini di bawa ke mahkamah.
“Bagi saya, ‘the proper remedy’ adalah kena pohon perintah deklarasi dan perintah ‘writ of quo warranto’ melalui semakan kehakiman macam kes Perak dulu,” katanya dalam status yang dimuat naik di akaun Facebook miliknya, semalam.
Kemelut Menteri Besar Perlis sepatutnya berakhir semalam dengan Datuk Seri Azlan Man mengangkat sumpah jawatan tersebut, namun tiada seorang pun Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) hadir dalam majlis di Istana Arau, Perlis itu.
Hal itu menyebabkan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail murka dan bertitah baginda tidak melantik ADUN Tambun Tulang, Datuk Ismail Kassim yang dinamakan sebagai calon Menteri Besar sebelum ini, kerana bimbang pentadbiran kerajaan negeri menjadi boneka kepada pihak lain.
Dalam pada itu, Ismail dalam sidang akhbar lewat malam tadi berkata, beliau bukan boneka dan mencadangkan lapan ADUN BN lain sebagai Menteri Besar, tetapi bukan beliau dan Azlan.
Jelas Mohamed Hanipa, kenyataan daripada Raja Perlis dan Pengerusi BN, Datuk Seri Shahidan Kassim semalam masing-masing disifatkan mempunyai merit.
“Pengerusi BN, bagi saya, yang saya faham, lebih mahukan prinsip raja berperlembagaan dikekalkan.
“Raja Perlis pula, yang saya faham, mahukan seorang Menteri Besar yang benar-benar bebas (truly independent),” katanya. – UTUSAN ONLINE










