Kemelut MB, 7 ADUN BN Perlis junjung titah Raja Perlis - Utusan Malaysia

Kemelut MB, 7 ADUN BN Perlis junjung titah Raja Perlis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR – Tujuh daripada sembilan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) yang tidak hadir pada Majlis Pelantikan dan Angkat Sumpah Menteri Besar Perlis baru-baru ini menjunjung titah Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.

ADUN Santan, Azizan Sulaiman yang mewakili ketujuh-tujuh ADUN itu berkata, mereka semua telah bersepakat untuk menjunjung titah Raja Perlis berhubung pelantikan Menteri Besar Perlis.

“Saya dan enam lagi ADUN BN tidak berniat untuk menderhaka terhadap Tuanku Syed Sirajuddin.

“Namun situasi yang berlaku di luar kawalan iaitu perjumpaan bersama pucuk pimpinan parti di ibu negara pada tarikh dan waktu yang sama menyebabkan kami tidak dapat menghadiri majlis pelantikan Menteri Besar.

“Kami bersepakat berada di ibu negara untuk menghadiri satu perjumpaan parti bersama Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Seri Shahidan Kassim dengan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (Pemangku Presiden UMNO),” katanya ketika dihubungi semalam.

Sebelum ini, ADUN Beseri, Ruzaini Rais dan ADUN Kayang, Hamizan Hassan menjunjung titah Tuanku Syed Sirajuddin berhubung pelantikan Menteri Besar Perlis.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), BN memenangi 10 daripada 15 kerusi Dewan Undangan Negeri di Perlis.

Bagaimanapun, sembilan ADUN BN memboikot majlis angkat sumpah Menteri Besar di hadapan Tuanku Syed Sirajuddin baru-baru ini. – K! ONLINE
 
 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN