Kembar Sufian Suhaimi bertubuh sasa dan kacak - Utusan Malaysia

Kembar Sufian Suhaimi bertubuh sasa dan kacak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 28 Mei – Mengakui sering dijadikan bahan gurau oleh kenalan rapat gara-gara menyerupai wajah penyanyi popular Sufian Suhaimi, seorang pemuda iaitu Md. Haslan Mahadi, 26, dibelenggu rasa malu, tetapi pada masa sama turut teruja.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ketika kali pertama ditegur oleh rakannya tentang persamaan antara mereka berdua, Md. Haslan atau Aalan menafikan hal itu kerana mendakwa raut wajahnya jauh berbeza dengan Sufian.

“Akan tetapi, sewaktu Sufian kecewa dek putusnya tali pertunangan dengan Elfira Loy pada awal tahun ini, semakin ramai pula yang tegur perkara sama kerana pada masa itu, dia menyimpan jambang.

“Kebetulan, saya pula memang sengaja membiarkan wajah ditumbuhi jambang, namun dijaga rapi supaya kelihatan kemas.

“Pada waktu itu, tidak dinafikan saya rasa seolah-olah mempunyai kembar seiras yang berkongsi tahun kelahiran sama, cuma saiz badan sahaja berbeza tatkala melihat mukanya di dalam akhbar atau televisyen,” cerita pemuda tersebut yang sudah berkeluarga dan menetap di Gombak.

Bukan itu sahaja, tempias populariti yang diraih Sufian atas perpisahannya serta sambutan hangat peminat terhadap single terkininya berjudul Di Matamu nyata memberi satu pengalaman baharu buat Aalan.

“Kalau dulu mungkin cuma ahli keluarga dan rakan rapat yang tegur, tetapi kini kenalan di media sosial pula dah mula perasan.”

“Malah, pernah juga ditegur di tempat awam oleh orang yang tidak saya kenali. Jujurnya saya tak pernah rasa rimas, tetapi sesekali itu ada juga dibelenggu perasaan malu. Makin lama, saya sudah terbiasa dan cuma senyum sahaja,” ujarnya berkongsi cerita. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN