KUALA LUMPUR 24 Mei – Memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani kerajaan terdahulu dengan kerajaan Bangladesh pada tahun 2016 berhubung penghantaran sebanyak 1.5 juta pekerja ke negara ini dalam masa tiga tahun akan dikaji semula dalam masa terdekat. Menteri Tenaga Manusia, M. Kulasegaran (gambar) berkata, perkara tersebut adalah kerana kerajaan kini ingin mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing dan memberi keutamaan kepada pekerja tempatan.

“Kita tahu masalah berkenaan gaji adalah antara faktor menyumbang kepada masalah lambakan pekerja asing dan kementerian akan bermesyuarat berkenaan gaji minimum dalam masa beberapa minggu.
“Dalam masa sama, saya ingin menekankan peningkatan gaji juga bukan merupakan jawapan kepada masalah ini tetapi kita juga akan fokus untuk menstabilkan harga barang dan mengurangkan hutang negara,” katanya dalam sidang akhbar selepas bermesyuarat di Menara Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di sini hari ini.
Tambah Kulasegaran, kerajaan walau bagaimanapun tidak akan menghantar balik pekerja-pekerja Bangladesh yang sudah mula bekerja.









