PASUKAN Selangor menyifatkan penangguhan perlawanan ke-11 memberi kelebihan buat para pemain kerana mempunyai waktu rehat yang panjang sekali gus dapat melakukan persediaan rapi bagi berdepan Kedah dalam saingan Liga Super di Stadium Kuala Lumpur, Cheras malam ini.
Skuad Gergasi Merah mempunyai kelebihan selepas perlawanan ke-11 berdepan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP FC) di Stadium Negeri Pulau Pinang, Batu Kawan Rabu lalu dibatalkan dan akan berlangsung pada tarikh yang akan diberitahu kelak ekoran stadium tersebut mengalami masalah lampu limpah.
Jurulatihnya, Muhammad Nazliazmi Mohamad Nasir mahukan pemainnya menggunakan waktu rehat tersebut dengan sebaik mungkin kerana insiden itu sedikit sebanyak memberikan kelebihan kepada pasukan untuk beraksi di hadapan penyokong sendiri.
“Kita tidak menjangkakan perkara ini bakal terjadi kerana ia adalah masalah teknikal dan insiden tersebut berlaku di luar kawalan.
“Namun ia beri kelebihan kepada pemain kerana mereka mempunyai tempoh rehat dan persediaan yang secukupnya sebelum bertemu Kedah.
“Kita bakal beraksi kali ini sebagai perlawanan pembukaan di bulan Ramadan berbanding Kedah akan berdepan perlawanan kedua mereka di Cheras untuk berdepan Selangor,” katanya ketika dihubungi kelmarin.
Aksi terakhir Selangor adalah pada 12 Mei lalu ketika berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT), manakala Kedah pada 22 Mei apabila mereka menang 2-0 ke atas Pahang di Alor Setar.
Pada masa sama, Nazliazmi juga mahu pemainnya beraksi dengan baik ketika berdepan Kedah kerana pasukan tersebut mempunyai barisan pemain yang hebat dan berpengalaman.
“Saya mahu pemain menggunakan kelebihan ini untuk beraksi dengan baik supaya Gergasi Merah tidak tercicir sebarang mata ketika beraksi di hadapan penyokong sendiri,” ujarnya.











