ALOR SETAR 29 Mei – Buat julung-julung kalinya, Kelab Bahasa Mandarin Universiti Teknologi Mara (UiTM) Merbok dan Persatuan Kebudayaan Cina Malaysia Cawangan Kedah-Perlis menjalinkan kerjasama menganjurkan Festival Bahasa dan Kebudayaan Antarabangsa Cina (i-CLACF 2018).
Pengerusi bersama program tersebut, Lee Chai Chuen berkata, beberapa acara telah dilaksanakan antaranya pertandingan menyanyi dalam bahasa Mandarin, pertandingan kostum tradisional Asia serta sesi penghargaan buat Tan Sri. Dr. P. Ramlee menerusi pertandingan mempersembahkan babak-babak lucu dari filem-filem seniman legenda itu dalam bahasa Mandarin.
“Antara tujuan festival ini diadakan adalah untuk menggalakkan para mahasiswa selain membantu mereka menjadi lebih berani untuk menggunakan bahasa Mandarin terutamanya selepas waktu kuliah.
“Dalam masa sama, para mahasiswa turut berpeluang menjalinkan kerjasama dan belajar mengenai kebudayaan kaum-kaum lain yang terdapat di negara ini,” katanya di sini.
Mengulas lanjut katanya, festival tersebut turut dimeriahkan dengan kehadiran rakan-rakan daripada Kelab Mandarin Sekolah Phatnawitya, Thailand yang berkunjung ke universiti berkenaan.
“Seramai 34 pelajar dan lima guru dari sekolah yang berpangkalan di Yala, Thailand itu hadir menjalankan pelbagai aktiviti bersama kami.
“Aktiviti dijalankan termasuklah seni guntingan kertas 3D, kelas bahasa Mandarin mudah, serta perkongsian mengenai permainan tradisi kedua-dua negara,” katanya.










