Kejutan rakan berjaya selamatkan 85 pelajar - Utusan Malaysia

Kejutan rakan berjaya selamatkan 85 pelajar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

REMBAU 20 Mei – Tindakan pantas seorang pelajar lelaki mengejutkan rakan-rakannya yang tidur berjaya menyelamatkan nyawa mereka dalam kebakaran di asrama Sekolah Tinggi Islam As Sofa (STIAS) di Kampung Chengkau dekat sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 pagi itu, Ahmad Mirza Khairudin, 17, tersedar daripada tidur apabila terhidu bau asap di asrama yang di­diami 85 pelajar lelaki sekolah itu.

“Saya terbangun dan terasa bahang api di bawah katil. Ketika itu saya masih mengantuk dan berasa seperti bermimpi. Saya kemudian ternampak asap hitam dan menyedari ada kebakaran, lalu berlari keluar dan memberitahu perkara itu kepada dua rakan yang mengulang kaji pelajaran di luar bilik asrama.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Bimbang dengan keadaan rakan-rakan yang lain, kami masuk semula ke dalam bilik dan mengejutkan mereka. Ada rakan cuba memadamkan kebakaran menggunakan alat pemadam api, tetapi gagal,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini hari ini.

Kebakaran yang melibatkan dua bilik itu menyebabkan blok asrama tersebut musnah sebanyak 90 peratus, namun tiada kecederaan dan kemalangan jiwa dilaporkan.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Norazam Khamis berkata, seramai 22 anggota termasuk lima pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Rembau, Senawang dan Seremban dikerahkan ke lokasi kejadian selepas mendapat panggilan pada pukul 1.58 pagi.

Menurutnya, kebakaran berjaya dipadamkan dalam tempoh 30 minit, namun kelengkapan serta barang peribadi milik pelajar rentung dan nilai kerugian masih dalam siasatan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini