Kebebasan media: Akta sedia ada yang bertindih akan disemak - Utusan Malaysia

Kebebasan media: Akta sedia ada yang bertindih akan disemak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA 22 Mei – Kementerian Komunikasi dan Multimedia akan menyemak semula beberapa akta sedia ada yang bertindih di antara satu sama lain dalam usaha meningkatkan kebebasan media di negara ini.

Menterinya, Gobind Singh Deo berkata, selain Akta Antiberita Tidak Benar 2018, akta-akta yang terlibat termasuk Akta Hasutan 1948, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Kanun Keseksaan.

Menurut beliau, sebagai contoh terdapat peruntukan tertentu dalam Kanun Keseksaan bertindih dengan Akta Antiberita Tidak Benar yang membolehkan kedua-duanya dikaji semula.

Ujar beliau, terdapat akta yang wajar dimansuhkan manakala yang lain perlu disusun semula dan dikemas kini bagi memastikan laporan berita disampaikan kepada masyarakat tanpa kekangan.

Gobind menarik perhatian bahawa kebebasan bersuara dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan namun ia bukan sesuatu yang mutlak kerana masih disempadani oleh undang-undang.

“Saya dimaklumkan bahawa wujud halangan tertentu ekoran penguatkuasaan akta berkaitan sehingga menyebabkan kandungan berita yang dihasilkan kerap dipertikaikan,’’ ujarnya pada sidang akhbar sulung di kementeriannya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Gobind turut menyatakan, akta-akta itu perlu dikemas kini selaras dengan perkembangan teknologi kerana hala tuju pemberitaan jelas mengalami perubahan untuk tempoh 15 tahun lalu.

Jelas beliau, pihak kementerian berusaha menegakkan kebebasan media melalui satu sistem yang mana para wartawan bebas menulis dan melaporkan berita manakala sebarang kritikan dialu-alukan.

Menyentuh mengenai penubuhan Majlis Media Malaysia yang merupakan salah satu daripada tiga pembaharuan yang akan dilaksanakan dalam tempoh 100 hari, Gobind menyatakan, perbincangan akan dilakukan bagi menentukan hala tuju serta terma-terma rujukan sebelum cadangan itu dilaksanakan.

Mengulas lanjut mengenai Akta Antiberita Tidak Benar 2018, Gobind menjelaskan, pasukan khas yang ditubuhkan akan mengkaji akta berkenaan sebelum mencadangkan kepada Kabinet agar ia dimansuhkan.

Beliau menjelaskan, rang undang-undang bagi akta itu dibentangkan dalam keadaan tergesa-gesa sedangkan skopnya terlalu luas sehingga menyebabkan ia boleh disalahguna dan disalahtafsir.

Ujar Gobind, walaupun sebelum rang undang-undang itu diluluskan, sudah ada akta tertentu yang diguna pakai bagi berhadapan dengan situasi yang menyekat kebebasan media. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN