SAYA mohon Tun Dr. Mahathir Mohamad agar mengajar dan mendidik Menteri Kewangan baharu, Lim Guan Eng agar lebih bijak berkata-kata dan perbanyakkan mendiamkan diri daripada membuat kenyataan beremosi.
Guan Eng dalam keghairahan menunjukkan dirinya layak memegang portfolio kewangan negara telah mengeluarkan beberapa kenyataan bersifat prejudis khususnya melibatkan skandal 1MDB sedangkan siasatan baru sahaja bermula.
Paling memburukkan keadaan bila angka sebenar hutang negara didakwa mencecah RM1 trilion sebelum ditarik semula dan kembali kepada angka mengikut kerajaan terdahulu.
Tindakan Guan Eng itu menjadi antara punca utama semua peningkatan dalam Bursa Malaysia sepanjang 2018 lenyap dalam masa beberapa hari sahaja selepas Pakatan Harapan mengambil alih kuasa Persekutuan.
Ini bukan isu politik, ini isu ekonomi dan setiap perkataan yang keluar dari mulut Menteri Kewangan akan menerima reaksi setimpal daripada pelabur tempatan dan asing.
Dr. Mahathir, Tun Daim Zainuddin dan hampir semua Menteri Kewangan terdahulu begitu menjaga tutur kata bagi mengelakkan kesan buruk kepada negara, inikan pula menteri muda yang masih mengekalkan mentaliti pembangkang.
Biarlah siasatan skandal-skandal lama berjalan dan dibawa ke mahkamah, tidak perlu buat kenyataan setiap hari untuk tunjuk diri buat kerja. Jika mahu promosi diri sekalipun, berikan fakta yang sebenar dan bukannya putar belit seperti zaman pembangkang dahulu.
Tolong sedar anda sudah jadi kerajaan, sudah jadi menteri. Jangan kekalkan pemikiran pembangkang yang asyik mencari salah orang lain sehingga salah sendiri tidak nampak.
PENGUNDI PH
Permatang Pauh, Pulau Pinang










