ERA milenium ketiga telahpun bermula pada 2001. Faktor itu juga mungkin mendorong kepada keputusan yang belum pernah dilakukan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) berhubung penganjuran Piala Dunia pada 31 Mei 1996 di Zurich.
Pada hari berkenaan, FIFA memutuskan Piala Dunia kali ke-17 akan diadakan di benua Asia. Belum ada dalam sejarah Piala Dunia, tuan rumah pertandingan tersebut digalas oleh negara dari luar benua Eropah, Amerika Selatan ataupun Amerika Utara/Tengah.
Bukan aspek itu sahaja yang dilihat unik, tetapi dalam sejarah Piala Dunia, buat kali pertamanya dua buah negara berganding bahu dilantik selaku tuan rumah bersama untuk menganjurkan pertandingan berprestij tersebut pada 2002.
Negara tersebut adalah Korea Selatan dan Jepun. Untuk Piala Dunia 2002, sebanyak 199 buah negara merebut slot ke pertandingan itu.
Daripada jumlah tersebut, hanya 29 pasukan daripada 32 slot ditawarkan beraksi pada Piala Dunia, memandangkan Jepun dan Korea Selatan layak secara automatik sebagai tuan rumah, manakala Perancis memegang status selaku juara bertahan.
Bagaimanapun, Piala Dunia 2002 merupakan kali terakhir FIFA memberikan kelayakan automatik kepada juara bertahan. Sebanyak 13 tempat untuk benua Eropah termasuk Perancis telah diperuntukkan.
Negara Eropah yang berjaya mengisi slot itu ialah Denmark, Sepanyol, Slovenia, Turki, Portugal, Poland, Jerman, Sweden, England, Itali, Croatia, Belgium dan Rusia. Slovenia layak buat kali pertama sejak keluar daripada Persekutuan Sosialis Republik Yugoslavia pada 1992.
Turki juga layak buat kali pertama sejak 1954 dan Portugal berjaya berbuat demikian sejak 1986. Lima tempat lagi diisi oleh wakil Afrika yang terdiri daripada Senegal, Afrika Selatan, Cameroon, Nigeria dan Tunisia. Senegal juga melakukan penampilan sulung pada Piala Dunia.
Bagi benua Amerika Selatan, empat slot yang diberikan kepada mereka diisi oleh Paraguay yang layak buat kali pertama, Ecuador, Brazil dan Argentina.
Sementara Costa Rica, Mexico dan Amerika Syarikat mewakili benua Amerika Utara/Tengah dan Caribbean. Bagi slot Asia, selain tuan rumah, Jepun dan Korea Selatan, China serta Arab Saudi turut beraksi pada pertandingan itu.
Bagi negara yang terpaksa beraksi menerusi penentuan play-off, Republik Ireland dan Uruguay berjaya menempah tiket terakhir itu setelah masing-masing mengetepikan Iran serta Australia.
Pada 2002 juga buat kali pertama kesemua tujuh pemenang iaitu Argentina, Brazil, England, Perancis, Jerman, Itali dan Uruguay berjaya melayakkan diri.
Memandangkan Piala Dunia 2002 dianjurkan oleh dua negara, maka, tuan rumah Korea Selatan dan Jepun menggunakan 10 bandar serta 10 stadium di negara masing-masing, yang mana ia membabitkan 20 stadium yang menjadi venue perlawanan.
Upacara pembukaan Piala Dunia diadakan di Stadium Piala Dunia Seoul, Korea Selatan, manakala perlawanan akhir dilangsungkan di Stadium Antarabangsa Yokohama, Jepun.
Perlawanan akhir yang menemukan dua gergasi dunia iaitu Brazil dan Jerman pada 30 Jun 2002, berkesudahan Selecao menundukkan Die Mannschaft 2-0 di hadapan 69,029 penonton.











