KUALA TERENGGANU 15 Mei – Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) menetapkan kadar fitrah di negeri ini kekal RM7 sebagaimana tahun-tahun sebelumnya.
Ini bermakna kadar yang ditetapkan itu tidak kurang daripada RM7 setiap seorang berdasarkan harga beras gred super tempatan di pasaran tempatan setelah mengambil kira nilai bersamaan dengan beras 10 peratus hancur dan beras 5 peratus hancur.
Yang Dipertua MAIDAM, Datuk Osman Muda berkata, mereka yang memakan beras jenis duper Import pula kadar dikenakan adalah bersamaan nilai 2.6 kilogram atau 2.9 cupak bersamaan segantang Baghdad.
Beliau bagaimanapun memjelaskan, bayaran fitrah di negeri ini pada tahun ini juga ditetapkan secara tunai dan kaedah serupa turut dilaksanakan tahun lalu.
“Orang ramai boleh membayar fitrah di mana-mana kaunter bayaran zakat kendalian MAIDAM dari pukul 8.30 pagi hingga 4 petang pada hari bekerja.
“Mulai 1 Jun hingga 14 Jun ini, kaunter bayaran zakat MAIDAM di Pusat Transformasi Bandar ( UTC) di PB Square di sini pula akan dibuka tujuh hari seminggu dari pukul 8.30 pagi sehingga pukul 9.30 malam,” katanya.
Beliau menyatakan perkara itu dalam sidang akhbar di sini hari ini yang turut dihadiri Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu yang juga Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM, Wan Ismail Sahaimi Wan Omar.
Osman seterusnya menarik perhatian, MAIDAM telah melantik 1,021 amil pada tahun ini yang akan ditugaskan mengutip fitrah dan zakat harta di setiap masjid dan surau.
Pada tahun lalu, jelasnya, sebanyak RM6.1 juta zakat fitrah dipungut dan jumlah itu menyumbang kepada 4.4 peratus daripada jumlah keseluruhan zakat di Terengganu iaitu RM137.9 juta sekali gus menyaksikan peningkatan RM117,256 berbanding tahun 2016.
Sementara itu katanya, mulai 20 Mei ini, pihaknya akan
mengagihkan bantuan zakat kepada golongan asnaf dengan jumlah peruntukan sebanyak RM12.8 juta untuk 26,435 fakir miskin manakala RM550,000 lagi kepada 1,100 mualaf. – UTUSAN ONLINE










