PUTRAJAYA – Pasukan Petugas Khas 1Malaysia Development Berhad (1MDB) mengesahkan telah mengadakan pertemuan dengan warganegara Switzerland yang juga bekas pegawai PetroSaudi International Ltd., Xavier Andre Justo.
Bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Abu Kassim Mohamed mengesahkan perkara itu selepas selesai mesyuarat kali kedua Pasukan Petugas Khas 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Ibu Pejabat SPRM.
“Saya bertemunya (Justo) semalam,” katanya ketika ditemui sejurus keluar daripada SPRM di sini hari ini.
Difahamkan, Justo dilihat berada di bangunan SPRM di sini pada pukul 9 pagi tadi dipercayai untuk menemui Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Mohd. Shukri Abdull.
Terdahulu, Abu Kassim dan bekas Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail dilihat keluar dari SPRM pada pukul 4.30 petang selepas dikatakan turut menghadiri mesyuarat itu yang bermula pukul 3 petang.
Dalam pada itu, ketika ditanya sama ada pertuduhan sudah disediakan untuk mendakwa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak esok, Abu Kassim berkata, beliau tidak mahu mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung perkara itu
“Tidak saya tidak mahu menjawab soalan ini, tapi satu kenyataan akan dikeluarkan oleh Pasukan Petugas Khas 1MDB ini nanti,” katanya
Sebelum ini, kerajaan mengumumkan penubuhan pasukan khas bagi menyiasat secara terperinci kes 1MDB.
Pasukan Petugas Khas 1MDB yang dianggotai oleh Abu Kassim bersama Mohd. Shukri, Abdul Gani dan Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Abdul Hamid Bador telah diberi arahan dan mandat oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bagi memastikan hasil siasatan kes 1MDB akan dilakukan dalam jangka masa terdekat. – K! ONLINE










