KUALA LUMPUR – Warga negara Switzerland yang juga bekas pegawai PetroSaudi International Ltd. Xavier Andre Justo mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad semalam.
Menerusi Facebook milik lelaki itu, Justo memaparkan sekeping gambar dirinya bersama Dr. Mahathir.
“Satu penghormatan dan pengalaman luar biasa,” tulisnya sebagai keterangan pada gambar berkenaan.
Bagaimanapun, Justo tidak menulis lanjut di mana pertemuan tersebut berlangsung dan tujuan pertemuan dirinya dengan Perdana Menteri.
Justo merupakan orang penting dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan sebelum ini, dia pernah didakwa berkongsi maklumat mengenai badan pelaburan berkenaan dengan Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown.
Jumaat lalu, Clare dilaporkan telah memasuki semula Malaysia. Sebelum ini, Editor Sarawak Report berkenaan dihalang pihak berkuasa memasuki negara ini.
Justo pernah ditahan pihak berkuasa Thailand dan dipenjarakan selama tiga tahun oleh negara jiran itu pada tahun 2015 kerana membocorkan maklumat dan data membabitkan PetroSaudi.
Bagaimanapun, Justo dibebaskan pada tahun 2016 setelah mendapat pengampunan diraja.
Skandal 1MDB yang menjadi skandal antarabangsa sebelum ini diarahkan tutup oleh kerajaan Malaysia. Bagaimanapun, selepas Pakatan Harapan menang dalam Pilihan Raya Umum ke-14 baru-baru ini, Dr. Mahathir mengarahkan siasatan 1MDB dibuka semula.
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak diminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya hadir ke ibu pejabat itu pada Selasa ini. Siasatan pada hari Selasa ini dikatakan berkisar kepada anak syarikat 1MDB iaitu SRC International.











