Jerman sedia pertahan gelaran - Utusan Malaysia

Jerman sedia pertahan gelaran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUNICH – Ketua jurulatih Jerman, Joachim Low me­ngakui skuad kendaliannya sudah bersedia untuk mempertahankan gelaran juara Piala Dunia yang diraih di Brazil empat tahun lalu menjelang aksi sama yang bakal membuka tirai­nya 14 Jun ini.

Bagaimanapun, skuad yang diberi jolokan Die Mannschaft akan memulakan aksi kumpulan F menentang Mexico pada 17 Jun dan seterusnya bakal berdepan Sweden dan Korea Selatan.

“Saya mempunyai ke­yakinan yang tinggi me­ngenai pasukan Jerman. Saya tidak pasti apa yang akan berlaku kepada ‘ge­nerasi emas’ Jerman ini pada perlawanan Piala Dunia nanti, namun saya dapat memberi jaminan bahawa semua pemain sangat bersema­ngat untuk mempertahankan kejuaraan mereka.

“Jerman masih kekal menggunakan falsafah sama walaupun terdapat beberapa perubahan pemain. Bagaimanapun, impian dan kekuatan Jerman masih seimbang sama seperti yang kami bawa di Brazil empat tahun lalu,” katanya.

Dalam perkembangan sama, pemain tengah Jerman, Marco Reus percaya skuad Jerman akan berdepan laluan sukar pada aksi kali ini kerana memegang reputasi juara terdahulu.

“Semua pasukan akan cuba menewaskan Jerman kerana kami turun sebagai juara bertahan. Jika semua pemain dapat mengekalkan rentak permainan serta memberi aksi terbaik, saya yakin Jerman masih lagi kekal sebagai pasukan pilihan untuk muncul juara.

“Ramai pemerhati bola sepak yang menjangkakan kami mudah menempah tiket ke pusingan suku akhir, tetapi saya rasa Jerman tidak seharusnya memandang mudah cabaran pasukan yang menghuni kumpulan F.

“Jujurnya, anggapan se­mua orang terhadap Jerman sedikit memberi tekanan kepada kami,” katanya. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN