KUALA LUMPUR 23 Mei – Johor Darul Ta’zim (JDT) terus mengukuhkan kedudukan sebagai pendahulu Liga Super setelah menundukkan pasukan tercorot liga, Negeri Sembilan 2-0 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, sebentar tadi.
Kedua-dua gol itu dijaringkan oleh penyerang import dari Argentina, Gonzalo Cabrera pada setiap babak iaitu pada minit ke-32 dan m-75.
Kemenangan itu menyaksikan skuad Harimau Selatan mengumpul 28 mata menerusi 9 menang dan satu seri, satu kalah selepas mengharungi 11 perlawanan.
Sementara itu, di Stadium Hang Jebat, Melaka United gagal memanfaatkan aksi di laman sendiri selepas terikat 1-1 dengan PKNS FC.
Tuan rumah bermula baik apabila membuka jaringan seawal minit ke-15 menerusi Wooyoung Jeon sebelum disamakan oleh pasukan pelawat dua minit sebelum berakhir babak kedua hasil jaringan penyerang Muhammad Jafri Firdaus Chew. – UTUSAN ONLINE










