KUALA LUMPUR – Jawatankuasa yang ditugaskan untuk menyiasat skandal 1Malaysia Development Bhd. (1MDB) mungkin mengambil masa lebih 100 hari untuk melengkapkan tugas mereka.
Pengerusinya, bekas Peguam Negara, Tan Sri Abu Talib Othman berkata, jawatankuasa berkenaan sudah mengadakan pertemuan dengan pegawai Kementerian Kewangan, Jabatan Audit Negara dan Suruhanjaya Sekuriti untuk membincangkan perkara itu dan bertukar pandangan.
“Hanya Allah yang tahu berapa lama (siasatan itu) akan mengambil masa. Jawatankuasa hanya menyelaraskan pasukan penyiasat. Justeru, kami perlu memperkukuhkan tindakan bagi mengelakkan pertindanan penyiasatan.
“Ia (siasatan itu) boleh jadi pendek, boleh jadi panjang (lebih 100 hari), bergantung kepada tahap kerumitan perkara yang disiasat,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat jawatankuasa berkenaan di sini hari ini.
Abu Talib berkata, masih terlalu awal untuk jawatankuasa siasatan 1MDB membuat sebarang ulasan kerana pada masa ini ia masih dalam fasa bertukar maklumat dengan pihak terbabit.
“Kami sedang bertukar maklumat (buat masa ini ini)… itu sahaja. Jawatankuasa kami sedang menyelaraskan apa cara terbaik untuk kita menyelesaikan perkara ini secepat mungkin,” tambahnya.
Ditubuhkan oleh Majlis Penasihat Kerajaan, jawatankuasa itu turut dianggotai Rakan PwC Risk Assurance Services, Nik Shahrizal Sulaiman; Rakan Kanan Naqiz Partners, Syed Naqiz Shahabuddin Syed Abdul Jabbar; Penasihat Kanan Financial Services Authority Indonesia, Faris Rabidin dan Pengasas Pusat Bagi Menangani Rasuah dan Kroni, Cynthia Gabriel.
Tumpuan utama jawatankuasa itu adalah untuk memastikan Malaysia dapat mensabitkan semua salah laku berkaitan 1MDB dan memaksimumkan perolehan semula semua aset yang dapat dikesan berkaitan 1MDB.
Sementara itu, Pasukan Khas Siasatan 1MDB pula diketuai bersama bekas Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail; bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Abu Kassim Mohamed; Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Mohd. Shukri Abdull dan bekas Timbalan Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Abdul Hamid Bador. – Bernama










