Jangan jarah dana Petronas - Najib - Utusan Malaysia

Jangan jarah dana Petronas – Najib

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 31 Mei – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengesa supaya Kerajaan Persekutuan yang baharu tidak menjarah dana syarikat Petroliam Nasional Bhd. (Petronas). Sebaliknya beliau meminta agar syarikat nasional tersebut terus diberi ruang dan modal besar untuk memenuhi visi.

Najib berkata, kerajaan Pakatan Harapan yang menyatakan pemansuhan GST akan dibiayai dengan meminta Petronas, Khazanah dan Bank Negara Malaysia untuk membuat bayaran dividen yang lebih tinggi kepada kerajaan sebagai pendekatan rapuh.

“Keuntungan Petronas juga bergantung kepada harga minyak dan gas dunia yang terletak di luar kawalannya. Kebergantungan yang keterlaluan terhadap harga minyak yang tinggi sepatutnya dielakkan.

“Walaupun harga minyak dunia sekarang agak tinggi berbanding jangkaan dalam bajet 2018 saya, kita perlu menjaga jika harga minyak jatuh lagi seperti kejatuhan sebanyak 80 peratus yang berlaku pada tahun 2014 dan 2015,” kata Najib dalam hantaran terbaharu di Facebook beliau hari ini.

Rizab tunai Petronas kini berjumlah RM164.7 bilion pada akhir Mac 2018 iaitu peningkatan sebanyak  RM36.5 bilion berbanding RM128.2 bilion pada penghujung 2017.

Peningkatan rizab tunai Petronas disumbangkan oleh harga minyak yang memberangsangkan selain dari penerimaan bayaran dari pelaburan Aramco Saudi bagi projek RAPID Pengerang.

Jelas Najib ketika era pentadbirannya, beliau amat teliti dalam memastikan Petronas tidak perlu membayar dividen kepada kerajaan melangkaui keperluan.

Ini kerana beliau mahu memastikan Petronas mempunyai imbangan tunai mencukupi bagi memenuhi pelan pengembangan dalam sektor perniagaan utama dan hiliran bagi menjadi sebuah syarikat tenaga berintegrasi bertaraf dunia.

“Pada masa itu, Petronas turut diberi ruang kebebasan untuk membuat pelaburan dalam projek huluan yang besar di Malaysia dan di merata tempat di dunia seperti Kanada, Iraq dan Brunei.

“Pelaburan-pelaburan ini akan berupaya menghasilkan dividen yang tinggi bagi Petronas serta Malaysia bagi jangka masa panjang. Kita melabur untuk memastikan manfaat bagi jangka masa panjang,” jelas Najib.

Hasilnya, menurut beliau, baki tunai Petronas telah meningkat secara signifikan dan syarikat tersebut berupaya membuat pelaburan serta berkembang untuk melaksanakan projek bersifat ‘game changer’ seperti projek RAPID Pengerang, Projek Integrasi Minyak dan Gas Sabah Sarawak (SSIOGP) dan projek Amonia dan Urea Sabah (Samur).-UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN