Jangan berebut jawatan - Anwar - Utusan Malaysia

Jangan berebut jawatan – Anwar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERMATANG PAUH 25 Mei – Ketua Umum Pakatan Harapan (PH) , Datuk Seri Anwar Ibrahim menasihatkan wakil rakyat PH yang menang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) baru-baru ini supaya tidak saling berebut jawatan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Anwar berkata, keutamaan ketika ini harus difokuskan untuk membantu masyarakat seperti yang dijanjikan dalam Manifesto Pilihan Raya oleh pakatan itu.

Ujar beliau, sekiranya wakil rakyat masih bersikap mementingkan jawatan, tidak mustahil rakyat akan mengubah kembali kerajaan dalam Pilihan Raya Umum Ke -15 (PRU-15) kelak.

“Bagaimanapun saya yakin dengan beberapa usaha yang sedang dilakukan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika ini, rakyat akan mendapat manfaatnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis berbuka puasa di Yayasan An Nahdhoh dekat Kubang Semang, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar dan Pengerusi PKR negeri, Datuk Dr. Mansor Othman.

Sementara itu, Anwar turut menyentuh tentang “peluang” beliau menjadi Perdana Menteri seperti yang dirancang oleh PH sebelum ini.

Katanya, beliau hanya akan menjadi Perdana Menteri sekiranya ‘tiada halangan’ dan berasa tenang kerana tidak mempunyai jawatan ketika ini dan boleh berehat.

“Saya senang kerana tidak ada sesiapa datang melobi untuk mendapatkan jawatan kerana saya juga tidak memegang sebarang jawatan penting dalam kerajaan ketika ini,” katanya.

Sementara itu, Anwar yang sinonim dengan Permatang Pauh memberi bayangan beliau mungkin tidak akan menjadi Ahli Parlimen kawasan itu sekiranya kembali dalam kancah politik.

“Permatang Pauh akan kekal berada di hati saya walaupun jika tidak jadi wakil rakyat anda, sebab itu saya datang ke sini untuk mengucapkan terima kasih di atas doa dan sokongan yang diberikan selama ini,” katanya.

Sebelum ini, desas desus mengatakan isteri Anwar, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail akan mengosongkan kerusi Parlimen Pandan yang dimenanginya dalam PRU-14 bagi memberi laluan Anwar untuk bertanding dan seterusnya dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN